Silat Seni Gayong Malaysia

Silat Seni Gayong diasaskan oleh Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd. Hashim. Beliau mula mempelajari ilmu persilatan ketika berusia 12 tahun daripada nenda sebelah bondanya, iaitu Tuan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas. Selama 3 tahun Meor Abdul Rahman berlatih bersama-sama dengan murid-murid Syed Zainal yang lain. Kemudian, Meor Abdul Rahman dikhatamkan oleh "orang ghaib" iaitu Datuk Laksamana Hang Tuah di dalam mimpinya ketika tertidur di atas sebuah batu hampar hitam di suatu tempat di sempadan negeri Siam-Tanah Melayu. Ketika itu beliau berumur 19 tahun. Beliau telah dicurahkan segala rahsia ilmu kepahlawanan, lalu diamanahkan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ini seluas-luasnya, dengan mengikut syarat-syarat tertentu dan masa-masa tertentu.
Meor Abdul Rahman digelar Rahman Sendo oleh baginda Sultan Alang Iskandar setelah menunjukkan kegagahan beliau di hadapan sultan. Baginda Sultan telah berkenan untuk mengambil beliau sebagai anak angkat dan Meor Abdul Rahman telah tinggal di istana sehingga baginda mangkat pada tahun 1938.
Pada tahun 1938, Meor Abdul Rahman telah merantau ke Singapura untuk mencari pekerjaan. Beliau telah memperolehi pekerjaan di kem tentera British, iaitu Royal Signal Corp., Gillman Barrack. Di sini, Meor Abdul Rahman turut mengajar tentera British seni tempur tanpa senjata.
Apabila Jepun datang menyerang, Meor Abdul Rahman melarikan diri ke Pulau Sudong, iaitu sebuah pulau di selatan Singapura. Setelah melalui pebagai cabaran dan dugaan, beliau sekeluarga dibenarkan menumpang di pulau itu. Di sinilah Silat Seni Gayong mula diperkenalkan semula, kepada penduduk-penduduk Pulau Sudong.Setelah Meor abdul Rahman berjaya menyelamatkan penduduk Pulau Sudong daripada ancaman Jepun, barulah Silat Seni Gayong diajar kepada seluruh penduduk Pulau Sudong. Kemudian, Meor Abdul Rahman dan keluarganya pun pulang ke Taiping, Perak.
Pada tahun 1947, Meor Abdul Rahman telah berpindah ke pulau besar Singapura kerana ditawarkan menjadi mata-mata gelap di Jabatan Jabatan Siasatan Jenayah Singapura. Dari tahun 1948, beliau gigih mengembangkan Silat Seni Gayong di Singapura dan seterusnya ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah bersara, beliau menubuhkan Sekolah Pusat Latihan Silat Seni Gayong di lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Di sinilah gurulatih-gurulatih awal Gayong dari Semenanjung Tanah Melayu mendapat pelajaran mereka.
Pada tahun 1959, Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Dato' Onn bin Jaafar. Dato' Onn telah melamar untuk mrnjadi murid Gayong dan mencadangkan agar Silat Seni Gayong ini didaftarkan menjadi satu pertubuhan yang sah di sisi undang-undang. Mulai tahun 1959, usaha-usaha untuk mendaftarkan silat ini teah dimulakan, dan pada tahun 963, Silat Seni Gayong telah didaftarkan dengan nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaya dengan nombor 361. Pertubuhan ini merupakan pertubuhan silat pertama sekali didaftarkan di Malaysia. Selepas didaftarkan, perkembangan Silat Seni Gayong semakin meluas. Dari Singapura, Gayong berkembang ke Johor. Pada masa yang sama, Gayong berkembang ke negeri-negeri utara atas usaha abang Meor Abdul Rahman, iaitu Meor Abdul Aziz dan gurulatih-gurulatih yang didatangkan khas dari Singapura. Persembahan silat turut diadakan di Kelab Sukan Sultan Abdul Hamid di Alor Setar pada tahun 1957 atas jemputan Tengku Laksamana Kedah, Tengku Kassim.
Pusat latihan tertinggi Silat Seni Gayong telah berpindah dari Singapura ke Kota Sarang Semut, Kedah pada tahun 1970 kerana Mahaguru Meor abdul Rahman telah menetap di Kedah. Pada tahun 1971, pusat latihan tertinggi telah berpindah pula ke Air Kuning, Taipig , Perak apabila Mahaguru menetap di sana.
Pada 1970, Silat Seni Gayong telah dipilih untuk mengadakan persembahan di Jepun dan hasilnya Silat Seni Gayong mendapat liputan luas daripada media di negara matahari tersebut dan berjaya mengkagumkan Maharaja Jepun.
Pada tahun 1972 Meor Abdul Rahman telah dianugerahkan bintang kebesaran Dato' Paduka Cura Simanja Kini oleh Sultan Idris Shah, iaitu sultan Perak. Pada tahun itu juga, Silat Seni Gayong diperkenalkan kepada Angkatan Tentera Malaysia. Seterusnya, tenetera-tentera ini ditauliahkan sebagai gurulatih dan diarahkan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ini kemerata-rata kem tentera di seluruh negara. Pada tahun 1978, Silat Seni Gayong diperkenalkan pula kepada Polis Diraja Malaysia. Anggota-anggota polis ini ditauliahkan sebagai gurulatih dan diarahkann untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ini ke semua pusat latihan polis di seluruh negara.
Di Singapura, Silat Seni Gayong dikendalikan oleh pertubuhan PASAK (Perkumpulan Anak-anak Sandiwara Angkatan Kesenian Singapura) yang dipimpin oleh Tuan Haji Hussein Kaslan, dan PERWANit (Persatuan Wanita Teruna) yang dipimpin oleh Tuan Haji Buang Bahar.
Seorang warga Tunisia, Mohammed Moncef Abdullah Al-Querghi telah kembali ke negara asalnya setelah setahun menuntut Silat Seni Gayong di Malaysia. Beliau bertanggungjawab untuk mengembangkan Silat Seni Gayong di Timur Tengah. Kemudian, pada awal 1990-an , anak-anak muridnya telah datang ke Malaysia untuk mendalami pelajaran Gayong.
Di Australia Barat,Silat Seni Gayong telah dikembangkan oleh Jan de Jong, seorang pakar seni bela diri, terutama dari aliran Jepun. Beliau menuntut Silat Seni Gayong daripada Mahaguru Meor Abdul Rahman sendiri pada pertengahan tahun1980-an. Di Amerika Syarikat pula, Silat Seni Gayong dikembangkan atas daya usaha Cikgu Sheikh Shamsudin dan Cikgu Sulaiman Sharif pada awal tahun 1990-an. Manakala di Eropah, Silat Seni Gayong dikembangkan oleh Cikgu Mufti Ansari pada penghujung 1980-an. Di United Kingdom, Cikgu Adlin yang berasal dari Negeri Sembilan juga bertanggungjawab mengembangkan Silat Seni Gayong.
Mahaguru Meor Abdul Rahman telah menyahut panggilan Ilahi pada 23 Jun, 1991. Beliau telah mewasiatkan selepas pemergiannya tiada lagi seorang pengganti yang bergelar Mahaguru selepasnya. Silat Seni Gayong akan ditadbir oleh Lembaga Amanah Silat Seni Gayong, yang dianggotai oleh mereka yang bersifat amanah dan berpegang kepada perjuangan Silat Seni Gayong. Sebelum menghembus nafas terakhirnya, Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman telah melantik anakandanya, Cikgu Siti Kalsom Meor Abdul sebagai Pemegang Amanah I Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau manakala Cikgu Razali Salleh sebagai Pemegang Amanah II.
"Silat Seni Gayong, seni mempertahankan diri orang Melayu dengan gerakan-gerakannya yang estetik yang mana pengamalnya dilarang melakukan maksiat, harus taat beribadat dan dalam amalannya dibacakan doa-doa dari ayat Al-Quran. Silat ini banyak berkaitan dengan kebatinan. Selagi mana ilmu dalamannya berasaskan akidah yang bersih,silat ini cenderung kepada seni Islam."
- Dr. Sidi Gazalba.